Mersing merupakan syurga bagi pemancing tetapi ramai dikalangan pemancing tercari-cari tempat terbaik
untuk memancing dikawasan sungai yang diketahui banyak terdapat spesis ikan untuk dikail. Salah satu tempat yang menjadi tumpuan warga tempatan atau anak-anak muda sekitar Mersing merealisasikan hobi memancing ialah di Sungai Mawar,dimana menjadi port saya sejak tahun 80’an lagi.
Sungai Mawar terletak di mukim Tanjung Resang iaitu jalan menuju ke Penyabong, dengan melalui jalan ke Endau dan memasuki simpang ke Tanjung Resang iaitu di Batu 7 atau jalan internatif lain iaitu memasuki simpang Air Papan kemudian memasuki persimpangan ke Penyabong akan menemukan jalan ke destinasi iaitu Sungai Mawar.
Kebanyakan Jambatan telah dikuatkuasa agar tidak dibenarkan memancing ada juga jambatan yg masih boleh dijadikan port memancing seperti di Jambatan Sg.Mawar tetapi kerap pemancing memancing di waktu malam kerana kurangnya kenderaan melaluinya atau elak dari pancaran matahari disiang hari. Ianya popular sejak dari jambatan kayu lagi ,sekarang jambatan Sg.Mawar telah dinaik taraf menjadi jambatan batu (dibina sekitar awal tahun 2000)
SIAKAP DIBURU
Awal memancing di jambatan Sg.Mawar (jambatan Kayu) tidak
ada banyak bezanya dengan memancing di pantai kerana kedudukanya yang tinggi sedikit dari aras air laut. Tetapi kini memancing di Jambatan batu Sg.Mawar benar-benar mencabar dan mengasyikkan,dimana dapat buat lontaran jauh yg dihajati serta mencabar terhadap kehadiran spesis Siakap yang banyak di tiang-tiang kayu jambatan lama. Bagi yang meminati memburu spesis Siakap pasti teruja apabila melihat dan mendengar bunyi sambaran Siakap mengejar anak-anak ikan.
Lihatlah jadual pasang surut air laut dulu sebelum pergi keSg.Mawar, saya sering melihat jadual untuk mengisyaratkan diri sendiri mengenai masa pertukaran arus yang bakal berlaku kerana ia masa terbaik melontarkan umpan kerana ketika ini lah ikan mula aktif.
Kebiasaanya warga tempatan memancing Siakap diwaktu malam sewaktu air Bani atau air gerak perlahan dengan menggunakan pelampong dan tiub’GLOW STICK’ atau tiub utk pencahayaan malam (diletakkan dipelampong serta hujung joran) agar dapat melihat pegerakan keduanya didalam keadaan gelap gelita.Umpan terbaik yang digunakan untuk Siakap ialah Udang hidup,
dahulu mungkin sukar pemancing luar untuk peroleh umpan udang hidup tetapi kini ada tempat untuk dapatkan umpan udang hidup iaitu di
Kg.Pangkalan Batu (0.60 sen seekor)iaitu sekitar dibandar
Mersing.
Ada juga pemancing menggunakan Gewang disiang hari melontar dipersekitaran cerucuk tiang jambatan lama.Gewang yang paling kerap digunakan pemancing tempatan dikawasan tersebut adalah gewang berwarna merah bahagian kepala dan putih dibahagian belakangnya.juga gewang bercorak dan warna garang turut menjadi pilihan kerana peranan warna terang boleh menarik perhatian Siakap
Ada juga mengetahui bukan air mati saja kita boleh memancing tetapi ketika air besar pun kadang-kadang hasil pancingan Siakap juga adalah lebih baik iaitu dengan menggunakan bot fiber.
MANCING ATAS JAMBATAN BATU
Apabila kita memancing dari kedudukan tinggi, jarak lontaran bukan ukuran sebenar. Di kawasan jambatan ikan lebih banyak meronda di kawasan tiang jambatan dan jarang berada di kawasan terbuka. Ini termasuk ikan seliding,ikan kekek dan tamban yang turut menjadikan tiang jambatan Sg.Mawar sebagai tempat berlindung.Tetapi harus diingat, di kawasan tiang jambatan adalah tempat yang banyaknya teritip iaitu kawasan sememangnya banyak ikan,Dengan hanya hulurkan pancing ke bawah jambatan di mana potensi sentapan adalah tinggi.
Kedudukan jambatan Sg.Mawar adalah tinggi, rakan pemancing perlulah menggunakan kekili dan joran yang kuat untuk mengangkat ikan keluar dari air, gunakan kekili yang ada kekuatan untuk mengkarau tali ketika beban tergantung di bawah jambatan tetapi jika kekili tidak mampu mengkarau, naikkan tali ke atas dengan teknik manual, tarik dengan tangan.
Gunakan joran aksi menegah atau sederhana berat bagi membantu pemancing menaikkan ikan ke atas. Panjang joran antara 6 kaki hingga 8 kaki. Joran terlalu pendek ( 5.5 kaki ke bawah) kurang sesuai kerana pemancing akan menghadapi sedikit masalah untuk mengangkat ikan ke atas. Tali utama pula elok guna 30 paun ke atas dengan perambut 40 paun. Perambut terlalu kecil saiznya memudahkan ikan terlepas ketika ia menggelupur semasa dinaikkan ke atas.
Lontaran di luar kawasan tiang jambatan Sg.Mawar dan jauh dari tempat menyangkut (reba atau tiang lama) tali sulam boleh di gunakan. Pemancing juga dinasihatkan agar menyediakan set pancing ringan untuk memancing anak ikan sebagai umpan seperti ikan bebolos dan anak kekek yang terdapat banyak disekitarnya.
Rakan pemancing boleh membuat perambut apollo sendiri juga merupakan salah satu teknik pancingan,pancingan apollo untuk pancingan dasar. Cara teknik ikatan ini dgn menggunakan dua utas tangsi iaitu satu perambut utama dan satu perambut anak sama ada sama atau berlainan saiz dipintal bersama. Perambut utama mestilah lebih panjang dari perambut anak.
Gunakan mata apollo bersaiz nombor 5 atau nombor 6 bertujuan memikat anak ikan,selepas mendapatnya boleh lah cangkut pada mata kail semasa ia masih hidup lagi. Satu lagi tips ikan biasanya lebih cenderung menerkam makanan yang berada di kawasan rangkaian makanannya seperti ikan kakap merah yang sering diperoleh di tiang jambatan Sg.Mawar.
PEROLEH IKAN BESAR
Memperoleh ikan besar seperti pari adalah tidak mustahil kerana Jambatan Sg.Mawar kedudukannya merupakan kuala sungai dimana keluar masuknya ikan-ikan dari laut. Seandai ikan Pari telah tersangkut dimata kail,usah bermain dengannya kerana pari sifatnya gemar melekap dipasir,biarlah pari menjadi lemah. Harus diingat ,usah mengangkat ikan pari yang telah lemah dari atas jambatan kerana kudrat kita tidak mampu, jika pun larat mustahil pari berjaya dinaikkan iaitu kerana bebanannya menyebabkan ‘terlucut’ atau mulut pari akan ‘rabik’.Jadi langkah terbaik,iaitu bawalah pari ke arah tebing (tunda perlahan-lahan dari atas jambatan) agar tidak berputih mata orang cakap.
Sebenarnya di Kuala Sg.Mawar terdapat pelbagai spesis ikan baik yang sekecil-kecil ikan seperti Bebolos, gelama kunyit,kekek,duri,belukang,belanak dll ,yang sedang-sedang seperti Unga tanda,Gerut, gelama papan (sebesar tapak tangan org dewasa)sembilang, senangin, kekacang,tuka dll. Juga spesis ikan yang banggak-banggak seperti yg popular iaitu Siakap putih (rekod 10kg),Pari, kakap merah,Mayong,Gemang ,talang, kerapu mata hijau dan yang paling mengejutkan iaitu ibu kerisi dan GT (jemuduk) dimana saya pernah mendaratkannya di Tanjung Sg.Mawar sekitar tahun 90’an hanya gunakan teknik pancingan pantai sahaja.Jangan terperanjat kalau saya katakan spesis ikan Sg.Mawar adalah internasional,”macam-macam ada”, Begitulah seadanya…..
Diharap dengan info yang telah saya berikan dapatlah berkongsi dengan rakan-rakan pemancing yang masih tercari-cari lokasi memancing terutama di daerah sekitar
Mersing atau berhajat mencuba tempat baru. Seperti peribahasa “dimana ada kemahuan,disitu ada jalan”.
Selamat memancing dari: Halaman Pengail Zulkiffleeh
0 Response to "LUBUK IKAN DI MERSING -part1(JAMBATAN SG.MAWAR)"
Post a Comment